Lovvu Dobbu

Event Ticker
Showing posts with label tambahilmu. Show all posts
Showing posts with label tambahilmu. Show all posts

Friday, August 7, 2026

.: PURDAH BUKAN FESYEN :.

Assalamualaikum.

gara-gara penuh wall cerita pasal niqabis yang meluah perasan/kisah rumahtangga.
rasanya ada yang tahu kot.. linda malas nak ulas panjang2, lagipun linda pun tak kenal, tak pernah nampak post beliau.
tahu2 boom je.

jadi, nak selit juga la, yang mana kategori berpurdah/berfesyen.
linda kalau nampak orang berpurdah, menutup aurat dengan sempurna.
linda selalu selit doa, moga suatu hari nanti linda pun jadi macam tu juga, aamin.

contoh 1

contoh 2

yang no 1 dengan 2 ni, linda rasa biasa je.
rupanya masih belum mencukupi syarat-syarat.
takpelah, kita masing2 sedang belajar.
takkan la sekali berubah, terus drastik. ye dak??

contoh 3

contoh 4

contoh 3 dan 4.
nampak sopan, lembut.
yang no 4 tu siap bawa kamera lagi.
makna kata, berpurdah bukan menghalang kita dari melakukan aktiviti yang kita suka, cuma perlu berlandaskan syariat dan sesuai dengan gaya seorang wanita muslimah.



paling terbaik Burqa.
tapi di Malaysia linda tak pernah nampak lagi.
mungkin bukan circle linda kot.

tak dapat buat semua, kita buat sikit.
untuk diri sendiri. semoga tak terhasut dengan hasutan syaitan yang selalu suruh beli baju fesyen yang fancy2.. hahaha



till then, see ya.

Friday, July 10, 2026

.: HUKUM MENCABUT RUMPUT DI ATAS KUBUR :.

Assalamualaikum.

CABUT RUMPUT ATAS KUBUR

SOALAN :

Apakah hukumnya mencabut rumput di atas kubur?

JAWAPAN :

Sebelum masuk kepada perbahasan hendaklah diketahui bahawa maksud rumput di atas kubur yang dibahaskan oleh ulamak ialah segala yang tumbuh di atas tempat yang di tanam mayat di bawahnya yang dinamakan sebagai kubur.

Ada pun kawasan yang tidak ada ditanam dibawahnya mayat seperti jalan yang ada di keliling kubur dan tanah lapang yang ada di dalam sempadan tanah perkuburan itu bukan termasuk kubur yang dibahaskan dalam masalah ini.

Hukum mencabut rumput dan pokok yang tumbuh di atas kubur ini berlaku khilaf dikalangan ulamak mazhab padanya.

PENDAPAT ULAMAK MAZHAB SYAFIE

Haram Cabut Tumbuhan Di Atas Kubur.

Tersebut pada kitab Fathul Mu’in :

ويحرم أخذ شيء منهما ما لم ييبسا لما في أخذ الأولى من تفويت حظ الميت المأثور عنه صلى الله عليه وسلم

Artinya : “Dan haram mengambil (cabut) suatu dari keduanya (yaitu pelepah kurma atau pokok yang ditanam di atas kubur) selama ia belum kering (mati) kerana mengambil (umpama pelepah kurma yang ditanam d atas kubur) itu menghilangkan hak mayat yang datang kisahnya dari hadith Nabi sollallahu alaihi wasallam.”

Yang dimaksudkan haram di sini ialah jika yang mencabut rumput yang ada di atas kubur itu ialah bukan pemiliknya (waris atau penjaganya). Ada pun pemiliknya maka tidak haram mencabutnya.

HARUS PEMILIKNYA MENCABUT TUMBUHAN ATAS KUBUR

Tersebut pada kitab Hasyiah Al-Qalyubi :

وَلَا يَجُوزُ لِغَيْرِ مَالِكِهِ أَخْذُهُ مَا دَامَ رَطْبًا لِتَعَلُّقِ حَقِّ الْمَيِّتِ بِهِ، وَإِذَا جَفَّ جَازَ لِكُلِّ أَحَدٍ أَخْذُهُ

Artinya : “Dan tidak harus mencabut tumbuhan di atas kubur oleh selain pemiliknya selama tumbuhan itu masih hidup kerana bergantung hak mayat dengannya. Dan apabila tumbuhan itu telah mati nescaya harus bagi sesiapa sahaja mencabutnya.”

Maka difahami dari perkataan Syeikh Qalyubi ini bahawa kalau pemilik kubur yang mencabutnya maka tidaklah haram.

Dan tersebut pada kitab An-Nihayah bagi Syeikh Ar-Ramli :

ويمتنع على غير مالكه أخذه من على القبر قبل يبسه

Artinya : “Dan tertegah atas selain pemiliknya mencabut tumbuhan di atas kubur sebelum tumbuhan itu mati.”

Dan tersebut pada kitab Hasyiah As-Syarwani ‘ala At-Tuhfah :

وَ (قَوْلُهُ وَيَحْرُمُ أَخْذُ ذَلِكَ) أَيْ عَلَى غَيْرِ مَالِكِهِ

Artinya : “Dan maksud perkataan Syeikh Ibnu Hajar haram mencabut tumbuhan atas kubur itu ialah atas yang bukan pemiliknya."

Dan tersebut pada kitab Al-Iqna’ bagi Syeikh Khatib As-Syarbini :

وَلَا يَجُوزُ لِلْغَيْرِ أَخْذُهُ مِنْ عَلَى الْقَبْرِ قَبْلَ يُبْسِه

Artinya : “Dan tidak harus bagi selainnya yakni selain pemilik kubur mencabut tumbuhan atas kubur itu jika ia belum kering (mati).”

PEMILIK DIHARAMKAN MENCABUT TUMBUHAN ATAS KUBUR

Dan maksud pemilik atau waris empunya kubur boleh mencabut tumbuhan atau rumput di atas kubur itu ialah selama masih ada tinggal sebahagiannya.

Ada pun mencabut semuanya hingga tidak ada satu pun yang tumbuh di atas kubur itu hukumnya tetap haram.

Berkata Syeikh Al-Bujairimi :

وَحَاصِلُهُ أَنَّهُ إنْ كَانَ الشَّيْءُ الْأَخْضَرُ قَلِيلًا كَخُوصَةٍ أَوْ خُوصَتَيْنِ مَثَلًا لَا يَجُوزُ لَهُ أَخْذُهُ وَهُوَ أَخْضَرُ لِأَنَّهُ صَارَ حَقًّا لِلْمَيِّتِ فَحُرِّمَ أَخْذُهُ، أَمَّا إذَا كَانَ كَثِيرًا فَإِنَّهُ يَجُوزُ الْأَخْذُ مِنْهُ

Artinya : “Dan kesimpulannya jika adalah sedikit yang tumbuh di atas kubur itu seperti beberapa helai sahaja nescaya tidak harus bagi pemiliknya mencabutnya ketika masih hidup kerana ia menjadi hak mayat maka haram mengambilnya. Ada pun jika banyak yang tumbuh hidup maka sungguhnya harus bagi pemiliknya mengambil sebahagian daripadanya.” (Kitab Hasyiah Al-Bujairimi)

Maksudnya jika banyak tumbuh rumput atau pokok di atas kubur itu maka pemiliknya hanya boleh mencabut sebahagian sahaja bukannya kesemuanya. Dan jika hanya sedikit yang tumbuh maka tidak boleh mengambilnya kerana akan hilang kesemua yang ada.

MAZHAB HANAFI MEMAKRUHKAN CABUT RUMPUT ATAS KUBUR

Berkata Syeikh Al-Khadimi Al-Hanafi :

: ومنها قلع الشوك والحشيش الرطبين على القبر، فإنه مكروه، فإن النباتات ما دامت رطبة تسبح الله، فحينئذ ينتفع الميت ويستأنس بتسبيحها

Artinya : “Dan setengah dari yang dilarang itu ialah mencabut pokok dan rumput yang masih hidup keduanya yang tumbuh di atas kubur maka sungguhnya hukumnya adalah makruh. Dari kerana bahawasanya segala yang tumbuh itu selama ia hidup ia bertasbih akan Allah maka pada ketika itu akan memberi guna kepada mayat dan menumpang rahmat dari tasbihnya itu.” (Kitab Bariqah Al-Mahmudiyyah)

KESIMPULAN

Haram atas bukan pemilik atau waris penghuni kubur mencabut atau mengambil tumbuhan yang hidup di atas kubur orang lain daripada rumput atau pokok-pokok.

Harus ke atas pemiliknya mengambil atau mencabut rumput dan pokok yang tumbuh di atas kubur dengan syarat ditinggalkan hidup sebahagiannya. Jika dicabut semuanya sekali maka hukumnya adalah haram.

Harus memotong atau membuang pokok-pokok dan rumput yang bukan di atas kubur yang tumbuh di sekeling kubur kerana memudahkan orang lalu dan ziarah atau supaya tidak tinggal haiwan yang berbisa di dalamnya.

Semoga bermanfaat pada kita semua..aamin.

Till then, see ya.

Wednesday, July 8, 2026

.: URAT SIMPUL :.

Assalamualaikum.

Urat simpul
Sama lah kan dengan simpul biawak @ simpul mengkarung.??
Yang selalu kena time pegnen tu.

URAT SIMPUL BUKAN SEKADAR MASALAH RUPA KAKI

Perasan tak ada orang yang kakinya nampak urat timbul, berbelit dan bersimpul?

Kadang-kadang nampak jelas di betis. Ada yang kebiruan. Ada yang timbul seperti tali kecil di bawah kulit.

Ini dipanggil varicose veins atau dalam Bahasa Melayu, urat simpul.

Urat simpul berlaku apabila injap kecil dalam urat kaki menjadi lemah atau rosak.

Dalam keadaan normal, darah dari kaki perlu mengalir naik semula ke jantung. Injap dalam urat membantu menghalang darah daripada turun semula ke bawah.

Tetapi apabila injap ini lemah, darah boleh berkumpul di bahagian kaki. Tekanan dalam urat meningkat. Lama-kelamaan, urat menjadi bengkak, membesar, berbelit dan timbul di permukaan kulit.

Sebab itu urat simpul lebih kerap berlaku di kaki, terutama bahagian betis.

Antara faktor risiko ialah selalu berdiri terlalu lama, duduk terlalu lama, kurang bergerak, berat badan berlebihan, kehamilan, umur meningkat dan sejarah keluarga yang ada masalah sama.

Pada peringkat awal, urat simpul mungkin nampak seperti masalah kosmetik sahaja.

Tetapi bagi sesetengah orang, ia boleh menyebabkan kaki rasa berat, lenguh, sakit, mudah bengkak, panas, berdenyut, gatal, kejang waktu malam dan cepat letih bila berdiri lama.

Jika dibiarkan, kulit di sekitar buku lali boleh menjadi kering, gelap, keras atau gatal. Dalam kes tertentu, luka boleh terbentuk dan lambat sembuh. Ini dipanggil venous ulcer.

Ada juga keadaan di mana urat simpul boleh berdarah jika kulit di atasnya menjadi terlalu nipis atau tercedera.

Cara mengurangkan risiko:

✅ Banyakkan berjalan.

✅ Elakkan berdiri atau duduk terlalu lama tanpa bergerak.

✅ Gerakkan pergelangan kaki jika kerja banyak duduk.

✅ Tinggikan kaki ketika berehat.

✅ Kawal berat badan.

✅ Amalkan senaman ringan seperti berjalan, berbasikal atau calf raise.

✅ Gunakan compression stocking jika disarankan oleh doktor.

Dapatkan pemeriksaan jika urat simpul semakin sakit, kaki semakin bengkak, kulit berubah warna, ada luka yang lambat sembuh, urat berdarah, atau sebelah kaki tiba-tiba bengkak, merah, panas dan sakit.

Urat simpul bukan sekadar isu cantik atau tidak cantik.

Ia boleh menjadi tanda aliran darah di kaki tidak berjalan dengan baik.

Jaga kaki sebelum ia menjadi lebih berat untuk dirawat.

#PublicHealthMalaysia #UratSimpul #VaricoseVeins

Friday, June 26, 2026

.: SALAM 10 MUHARAM :.

Assalamualaikum.

Salam Jumaat.
Salam Hari Asyura.

Alhamdulillah, pada yang berpuasa semalam dan hari ni.
Semoga beroleh keberkatannya.

Yang tak berpuasa(Linda la tu) takpe.
Banyak lagi amalan lain yang boleh dilakukan, insyaAllah beroleh ganjarannya juga..
 
Linda kongsikan sikit ya.
Jangan sibuk pulun hari ni je, kalau dapat istiqamah(untuk diri sendiri juga), lagi bagus.

Semoga yang baik² saja untuk kita semua.
Minggu ni tak balik Tronoh.
Next week baru balik.

Esok macam nak lepak p TRX, tengok la kalau rajin nak tinggalkan katil. Hahaha.

Till then, see ya.

Friday, June 19, 2026

.: KADAR KELAHIRAN MALAYSIA :.

Assalamualaikum

kadar kelahiran di Malaysia

Kuala Lumpur: Malaysia merekodkan hanya 414,918 kelahiran hidup pada 2024, jumlah terendah sejak 1980. Angka ini turun 9.0% berbanding tahun sebelumnya, ketika kadar kesuburan negara berada sekitar 1.6 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras gantian populasi 2.1.

Maksud mudahnya begini.

Anak Malaysia yang lahir hari ini tidak cukup untuk menggantikan generasi Malaysia yang semakin menua.

Kalau trend ini berterusan, 20 hingga 30 tahun lagi negara akan ada lebih ramai warga emas, tetapi lebih sedikit anak muda untuk bekerja, membayar cukai dan menjaga ekonomi negara.

Pada tahun 2000, Malaysia pernah mencatatkan 537,853 kelahiran hidup. Maksudnya, dalam tempoh lebih dua dekad, negara kehilangan lebih 120,000 kelahiran setahun berbanding dahulu.

Ini bukan sekadar statistik.

Ini tanda bahawa anak Malaysia semakin sedikit, keluarga muda semakin kecil dan negara sedang menuju ke arah populasi menua dengan lebih cepat.

Hari ini mungkin kita rasa biasa. Satu anak cukup. Dua anak berat. Tiga anak dianggap luar biasa. Tetapi 20 hingga 30 tahun akan datang, kesannya akan lebih terasa.

Tenaga kerja tempatan semakin mengecil. Lebih ramai warga emas perlu dijaga. Ekonomi pula tetap memerlukan pekerja.

Bila anak Malaysia makin sedikit, ruang kosong itu tidak akan kekal kosong.

Negara akan semakin bergantung kepada tenaga luar untuk mengisi sektor pekerjaan, perkhidmatan, pembinaan, perladangan dan penjagaan.

Ini bukan soal membenci warga asing. Ini soal masa depan negara sendiri.

Kalau rakyat Malaysia sendiri semakin kurang melahirkan anak Malaysia, siapa yang akan menyambung generasi Malaysia?

Kepada pasangan yang sudah berkahwin, sihat, stabil dan mampu, jangan terlalu takut untuk membina keluarga.

Kalau mampu, tambah lagi.

Kalau sudah lama mencuba, dapatkan pemeriksaan dan rawatan yang betul.

Kalau sedang merancang, rancang dengan ilmu, kesihatan dan tanggungjawab.

Anak ialah pewaris keluarga.

Anak ialah tenaga negara.

Anak ialah masa depan Malaysia.

Malaysia perlukan lebih ramai anak Malaysia.


#PublicHealthMalaysia

#KesihatanKeluarga

#MasaDepanMalaysia


20-30 tahun akan datang, mungkin kita akan menjadi negara macam China dan Korea. Tapi, zaman sekarang nak menambah anak. Memang mencabar. Belum lagi yang trauma nak masuk dalam ikatan perkahwinan, belum lagi yang dah kahwin tapi nak childfree.

mungkin ada orang cakap, tak payah nak pening2. tak lama lagi nak kiamat pun, fokus pada beribadah je.

Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda : 

إِنْ قامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Maksudnya: “Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.”

Bayan Linnas kepentingan pertanian

till then, see ya.

Monday, May 18, 2026

.: SALAM ZULHIJJAH 1447 :.

Assalamualaikum.


Salam Zulhijjah buat semua.
Semoga dipermudah segala urusan kita.
Termasuk duyufurrahman.

Baru ingat nak puasa sunat, tapi BFF datang pula.

Untuk yang melakukan korban tahun ini, selamat berkorban, moga berkat dan sampai pahalanya..aamin.
alhamdulillah, insyaAllah, tahun ni pertama kali Linda turut serta sebagai peserta korban, moga direzekikan untuk melakukan korban pada tahun seterusnya..aamin.

Till then, see ya.

Friday, May 8, 2026

.: HUKUM BERKAITAN MASALAH DARAH PUTUS-PUTUS :.

 Assalamualaikum.

Banyak lagi nak kena gali ilmu.
Kalau normal je haid nya, tak pening.
Bila tak normal, mula la gelabah.

Jumpa kat FB, tepek sini jap.
Ada salah silap, meh sama² betulkan.

Hukum Berkaitan Masalah Darah Putus-putus.

Kaedah pengiraan darah yang keluar secara putus-putus adalah dengan dikumpulkan kesemua tempoh darah yang keluar sepanjang 15 hari 15 malam ke bawah. Jika tempoh darah itu cukup sehari semalam, maka ia dihukumkan sebagai haid. Sebaliknya, jika tempoh darah itu tidak cukup sehari semalam, maka ia bukanlah haid, tetapi darah fasad atau istihadah.

Di dalam kitab Nihayah al-Matlab,

فَأَمَّا إِذَا كَانَ مَجْمُوْعُ الدِّمَاءِ فِي الْخَمْسَةَ عَشَرَ يَبْلُغُ أَقَلَّ الْحَيْضِ، وَلَكِنْ كُلُّ دَمِ فِي نَفْسِهِ لَا يَبْلُغُ أَقَلَّ الْحَيْضِ، فَالْمَذْهَبُ الصَّحِيحُ أَنَّهَا حَيْضُ.

Terjemahan : "Apabila keseluruhan darah-darah yang dalam tempoh 15 hari 15 malam itu sampai tempoh sekurang-kurang haid (24 jam) sedangkan setiap satu darah itu secara bersendirian tidak sampai sekurang-kurang haid, maka pandangan yang sahihnya adalah darah-darah tersebut dihukumkan sebagai haid."

Di dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj,

وَبِمُجَرَّدِ رُؤْيَةِ الدَّمَ أَوْ مِنِ إِمْكَانِ الْخَيْضِ يَجِبُ الْتِزَامُ أَحْكَامِهِ ، ثُمَّ إِنْ انْقَطَعَ قَبْلَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ بَانَ أَنْ لَا شَيْءَ فَتَقْفِي صَلَاةَ وَلا ارْمَنِ وَإِلَّا بَانَ أَنَّهُ حَيْضٌ ، وَكَذَا فِي الانْقِطَاعِ بِأَنْ كَانَتْ لَوْ أَدْخَلَتْ الْقُطْنَةَ خَرَجَتْ بَيْضَاءَ نَقِيَّةٌ فَيَلْزَمُهَا الأَحْكَامِ الطُهْرِ ، ثُمَّ إِنْ عَادَ قَبْلَ خَمْسَةَ عَشَرَ كَفَّتْ وَإِنْ انْقَطَعَ فَعَلَتْ وَهَكَذَا حَتَّى تَمْضِيَ خَمْسَةَ عَشَرَ جِيدُودُ كُلْ إِلَى مَرَدَّهَا الْآتِي (التحفة المحتاج ١/ ٩٩٣ - ٠٠٤)

Terjemahan : “Dengan semata-mata melihat darah di dalam masa yang terdapat kemungkinan datangnya darah haid, wajiblah dia melazimkan dirinya dengan hukum-ahkam darah haid. Kemudian sekiranya darah itu terputus sebelum mencapai tempoh sehari semalam, maka nyatalah dia tidak berhaid, justeru hendaklah dia menqadha' solat bagi tempoh masa tersebut. Tetapi jika darahnya berterusan sehari semalam atau lebih, maka jelaslah bahawa dia berhaid.

Jika wanita itu memasukkan kapas ke dalam farajnya, lalu kapas itu dikeluarkan dalam keadaan bersih, maka wajiblah baginya melazimkan dirinya dengan hukum-hakam orang yang suci (hilang maani'). Kemudian sekiranya darahnya kembali sebelum tempoh 15 hari (wujud maani’), maka hendaklah wanita tersebut menahan diri daripada perkara-perkara yang dilarang. Jika darah itu terputus berhenti pula selepas itu, maka wanita itu mesti melakukan seperti yang telah lepas (yakni berhenti darah, lihat tanda-tanda dan lain-lain). Beginilah keadaannya sehingga berlalu tempoh masa 15 hari). Apabila ada darah, maka ada maani` dan tidak boleh solat. Apabila tiada darah, maka hilang maani' dan wajib solat.”

Di dalam kitab Risalah dan Ibanah Wal Ifadhoh,

وَكَمَا أَنَّهَا تُحَيَّضُ بِرُؤْيَةِ الدَّمِ ، تَطْهُرُ أَيضاً بِالقِطَاعِ الدَّم - أَي تَلْتَزِمُ أَحْكَامَ الطَّهَارَةِ مِنْ صَلَاةٍ وَصَوْمٍ وَإِنْ بَلَغَ أَقَلَّهُ - فَتُؤْمَرُ بِالْغُسْلِ(رِسَالَة صـ ٣٥ / الإبانة و الإفاضة ص ٣١)

Terjemahan : “Sebagaimana wanita itu dihukumkan berhaid dengan semata- mata melihat darah (wujud maani'), wanita itu juga akan dihukumkan suci dengan semata-mata melihat terputusnya darah (hilang maani') yakni maksudnya dia wajib melazimkan dirinya dengan hukum-hakam bersuci seperti sembahyang dan puasa. Seandainya telah cukup tempoh sekurang- kurang haid sehari semalam 24 jam, maka diwajibkan mandi juga ke atasnya.”

Wallahua'lam.

Friday, April 10, 2026

.: MIHNAH :.

Assalamualaikum.

Pernah tak kita pakai kain atau jubah… rasa dah cukup tutup aurat.

Tapi tanpa sedar, bentuk kaki masih jelas kelihatan?

Itulah yang dipanggil mihnah memakai seluar di dalam kain, untuk menjaga aurat daripada terlihat bentuknya.

Rasulullah ﷺ pernah mengingatkan supaya wanita memakai pakaian dalam di sebalik kain, kerana dikhuatiri pakaian itu masih menggambarkan bentuk badan. Ini menunjukkan betapa Islam sangat menjaga maruah wanita… bukan sekadar tutup, tapi menutup dengan sempurna.

Kadang-kadang… bukan sengaja kita nak terdedah.

Waktu naik tangga, naik motor atau kereta… kain boleh terselak tanpa kita sedar.

Di sinilah mihnah jadi penyelamat.

Ia bantu lindungi aurat kita saat kita tak mampu kawal keadaan.

Jangan tunggu nampak baru nak risau.

Lebih baik kita berjaga dari awal.

Bukan semua yang “tertutup” itu benar-benar menutup.

Kadang yang kita anggap kecil… itulah yang paling perlu kita perbaiki.

Ini bukan untuk menghukum sesiapa,

tapi sebagai peringatan untuk kita semua… termasuk diri sendiri.

Moga Allah jaga kita dan mudahkan kita istiqamah 🤍



#JagaAurat

#Mihnah

#Muslimah

#HijrahDiri

#PeringatanBersama

#Istiqamah

#AuratsWanita

#SurahAnNur31

#DakwahSantai

#MenujuSyurga

Tuesday, March 31, 2026

.: KECACATAN YANG MENAWAN :.

Assalamualaikum.

Pernah dengar tak, orang yang ada lesung pipit ni cacat. ?? Hahaha.
Kira Linda ni kategori cacat la.
Tapi, cacat yang menawan.. hahaha..
Perah santan betul.

Cacat yang otot la ni.
Otot tak bersambung helok.
Berlekuk lah dia.
Tapi Linda kategori, kena senyum lebar, baru nampak lesung pipit.
Ada kawan sek men tu, buka mulut sikit je dah nampak.
Dua belah pulak tu.
Dalam pulak tu.

Tapi, memang orang yang ada lesung pipit ni, cute, baby face, tak makan tua.
Ehhh. Perah santan lagi.

Tak percaya???
Nak bukti??
Nahh.. Linda bagi. Hahaha

Haa, cute kan?

Ni satu lagi.

Cukup lah 2 gambar je Linda payung.
Banyak² kang, menyampah pula tengok. Hahaha.

Meh geng² cacat menawan kumpul sini. 😝😝

Till then, see ya.

Wednesday, February 18, 2026

.: SOLAT TARAWIH :.

Assalamualaikum.

Malam pertama untuk kita menunaikan solat tarawih.
Untuk kaum wanita yang selalu sibuk, boleh buat di rumah juga.
Linda ingat lagi, zaman Linda kecik².
Pergi tarawih di surau, tapi dengan kawan².
Mak sibuk di rumah, dengan nak jaga adik² lagi.
Alhamdulillah, Linda pun bila anak² dah besar ni, baru la ke surau.
Kalau tak, dekat rumah je.
Jom Linda kongsikan cara solat tarawih untuk kaum wanita di rumah.
Semoga kita semua mendapat berkat dan manfaat bulan Ramadan.

Solat Sunat Tarawih
Jangan lupa niat ya.

Solat Sunat Tarawih
InsyaAllah, ikut kemampuan kita.

Solat Sunat Tarawih
Baca surah² atau ayat² yang kita hafal je.

Solat Sunat Tarawih
Di sudahi dengan solat witir.

Solat Sunat Tarawih
Zikir jangan dilupa.

Solat Sunat Tarawih
Panduan doa.

Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna, aamin.

Selamat berpuasa bagi seluruh umat Islam di dunia.

Till then, see ya.

Friday, February 13, 2026

.: DEVIL'S PINCH :.

Assalamualaikum

Hantu juga yang salah.
Tapi bukan salah hantu tau.

Gigitan hantu

Bangun pagi ada lebam di paha bukan sebab hantu tapi ini puncanya

Pernah tak jadi kat korang, malam tadi tidur elok je, tak terlanggar bucu meja, tak jatuh, tapi pagi ni bangun tengok ada lebam biru keunguan kat paha atau lengan?

Orang tua-tua panggil "Gigitan Hantu".

Doktor panggil "Purpura Simplex" atau "Devil's Pinch" (Cubitan Syaitan).

Jangan risau, tak perlu panggil bomoh. Panggil doktor kalau ia berlarutan.


Ini 4 sebab kenapa badan anda lebam sendiri:

1. Salur Darah Rapuh (Fragile Capillaries)

Ini paling biasa berlaku pada wanita. Dinding salur darah halus (kapilari) di bawah kulit anda nipis. Bila anda stres atau tertekan sikit semasa tidur, salur darah ni pecah sendiri dan darah merembes keluar jadi lebam.

2. Masalah Platlet (ITP)

Platlet adalah "batu bata" dalam darah yang tolong tampal luka. Kalau platlet rendah atau tak berfungsi, darah mudah bocor keluar dari salur darah walaupun tiada kecederaan. Ini boleh jadi tanda awal masalah darah (ITP).

3. Kurang Vitamin C & K

Vitamin C bukan untuk putih saja, ia adalah "simen" yang kuatkan dinding salur darah. Kurang vitamin C menyebabkan salur darah mudah pecah (Scurvy). Vitamin K pula penting untuk pembekuan darah.

4. Kesan Ubat Tahan Sakit

Pengambilan ubat seperti Aspirin, NSAIDs (Painkiller), atau ubat cair darah boleh menyebabkan darah lambat beku dan mudah lebam.

Bila kena jumpa doktor?

Kalau lebam ni datang pakej sekali dengan:

- Gusi berdarah masa gosok gigi.

- Kerap mimisan (hidung berdarah).

- Demam yang tak kebah.

- Lebam makin banyak dan besar tanpa sebab.

Ini mungkin tanda Leukimia atau gangguan darah serius. Tapi kalau setakat lebam "manja" sekali-sekala, itu tandanya anda kena kurangkan stres dan makan buah oren lebih sikit.

Hantu tak salah, badan kita yang minta rehat.

Kredit to PHM.


Till then, see ya.

Friday, January 30, 2026

.: AMALAN ZIKIR :.

Assalamualaikum.

Salam Jumaat semua.
Semoga kita semua mendapat keberkatan di hari Jumaat.aamin.

Zikir harian
Semoga sama² menjadi amalan kita..aamin.

Till then, see ya.

 

Sunday, January 18, 2026

.: ISRAK MIKRAJ, 27 REJAB 1447 :.

Assalamualaikum.

Semoga tak terlambat untuk mengucapkan Salam Israk Mikraj.

Peristiwa Israk Mikraj merupakan salah satu mukjizat Nabi Muhammad SAW.

Dalam peristiwa Israk Mikraj, Allah SWT telah memperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW beberapa gambaran tentang balasan,kemuliaan dan realiti akhirat. Semua ini bukan untuk menakutkan semata-mata, tetapi untuk mendidik umat manusia supaya tidak lalai, tidak alpa..dan sentiasa kembali kepada Allah.

Israk mikraj 1447
Allah Maha Mengetahui.
Daripada 50 waktu solat, dikurangkan menjadi 5 waktu solat.
Itupun, masih terasa berat untuk menunaikan solat.
Tak payah jauh, diri sendiri je..
Bila masuk waktu tu "10min lagi aku solat" "kejap lagi, nak siapkan kerja sikit" "awal lagi, jap lagi lah solat"

Astaghfirullahalazim.
Setiap tahun, niat untuk solat di awal waktu sentiasa ada.
Semoga kita semua sentiasa mendapat hidayah dan keberkatan daripada Allah SWT..aamin.

Israk mikraj 1447
-7 perkara luar biasa yang diperlihatkan pada Rasullullah SAW-

Semoga, kita semua sentiasa mengambil ibrah daripada kejadian Israk dan Mikraj.
Kebesaran Allah..
Mukjizat Nabi SAW.

Till then, see ya.

Thursday, November 27, 2025

.: RIBUT TROPIKA SENYAR :.

Assalamualaikum.

RIBUT TROPIKA SENYAR: Peristiwa Paling Pelik Dalam Sejarah Cuaca Malaysia

Hari ni, 27 November Malaysia dan dunia cuaca dikejutkan dengan ribut tropika Senyar ribut yang lahir di tempat yang selama ni pakar anggap mustahil.

Ribut tropika ini terbentuk dalam Selat Melaka. 

Benda ni tak pernah tercatat dalam sejarah MetMalaysia.

Biasanya ribut macam ni lahir di:

📌 Laut China Selatan 

📌 Lautan Pasifik 

📌 Kawasan perairan dalam dan luas 

Tapi hari ni dengan izin Allah Senyar ni hidup di tempat yang paling pelik iaitu di Selat Melaka perairan yang sempit, cetek, kiri kanan daratan.

Secara logik ribut tropika memang tak patut wujud kat sini tapi dia muncul juga.


1. Pergerakan & Kekuatan Senyar.

Ribut ni mula terbentuk di utara Sumatera kemudian bergerak perlahan ke arah timur laut, masuk ke Selat Melaka sebelum menghentam kawasan barat Semenanjung dengan kelajuan angin sekitar:

▶️ 24 km/j pergerakan

▶️ 50 km/j angin kencang

▶️ Hujan lebat tanpa henti

▶️ Laut bergelora dari utara sampai ke selatan Pantai Barat

Kesan dia terasa hampir seluruh barat Semenanjung:

Kedah, Penang, Perak, Selangor, KL, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor sampai Pahang pun kena tempias.

Kedudukan terakhir direkodkan kira-kira 102 km barat daya Lumut dan masih bergerak ke timur laut.


2. Kenapa Ribut Senyar Ni Unik Sangat?

Sebab ini kali pertama dalam sejarah Malaysia:

Ribut tropika terbentuk dalam Selat Melaka. 

Selama ni pakar cuaca sendiri anggap mustahil kerana:

▶️ Selat Melaka sempit

▶️ Paras air cetek

▶️ Dikelilingi daratan

▶️ Kurang tenaga haba untuk lahirkan ribut besar

Tapi Senyar muncul, membesar dan bergerak macam ribut tropika sebenar.

Ini antara peristiwa cuaca paling pelik dalam era moden Malaysia.


3. Risiko Yang Kita Kena Bersedia.

Ribut Senyar dijangka boleh sebabkan:

✅ Banjir besar di kawasan rendah

✅ Tanah runtuh di cerun dan kawasan berbukit

✅ Gangguan elektrik di beberapa lokasi

✅ Laut bergelora

Kita doakan semua yang berada di kawasan terjejas berada dalam lindungan Allah.

Cuaca sekarang memang luar biasa. Hati-hati ye semua.


Kredit : FB

Friday, November 21, 2025

.: 4 PERTANYAAN DI PADANG MAHSYAR :.

Assalamualaikum.

Salam Jumaat yang berkah, hujan mengiringi subuh hari ini.Alhamdulillah.
Kita selesa waktu hujan di sini, tapi di Gaza jauh sekali. Ya Allah, permudahkan segala urusan mereka.aamin.

Pertanyaan di Padang Mashyar
Di Padang Mahsyar nanti, inilah perkara yang Allah akan tanya kan.
uMur,ilmu,harta dan tubuh.
Apa yang kita lakukan dengan mereka?
Salah satu sebab perlu menjaga kesihatan badan, kerna ia kurniaan Allah, harus kita jaga amanah ini.

Moga segala amal kebaikan yang kita lakukan, dipandang oleh Allah walaupun sebesar zarah.
Moga dijauhkan dari segala perkara yang menyimpang dari jalan Allah.
Aamin Ya Rabbal 'Alamin.

Till then, see ya.

Friday, September 5, 2025

.: SALAM MAULIDUR RASUL 1447 :.

Assalamualaikum.


HUKUM SAMBUTAN MAULID RASUL

SOALAN :

Apakah hukumnya membuat upacara sambutan Maulidurasul?

JAWAPAN :

Berkata Dr Syauqi Ibrahim ‘Allam Mufti Mesir :

الاحتفال بالمولد النبوي الشريف شاهدٌ على الحب والتعظيم لجناب سيدنا النبي صلى الله عليه وآله وسلم والفرح به، وشكرٌ لله تعالى على هذه المنَّة كما قال تعالى: ﴿قُلْ بِفَضْلِ اللهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا﴾ [يونس: 58]. وهو أمرٌ مستحبٌّ مشروعٌ له أصله في الكتاب والسنة، ودرج عليه المسلمون عبر العصور، واتفق علماء الأمة على استحسانه، ولم ينكره أحدٌ يعتدُّ به.

Artinya : “Upacara sambutan maulid Nabi yang mulia adalah merupakan tanda atas rasa kasih dan mengagungkan penghulu kita Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam dan bergembira dengannya.

Dan merupakan tanda syukur kepada Allah Taala atas kurniaan-Nya sebagaimana firman Allah Taala :

قُلْ بِفَضْلِ اللهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا

Artinya : “Katakalah dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya maka dengan sebab yang demikian itu maka hendaklah kamu semua bergembira.” (Yunus : 58)

Sambutan ini adalah pekerjaan yang disyariatkan yang ada baginya asal di dalam Quran dan Sunnah yang mana telah mengamalkannya olih sekelian orang Islam sejak berkurun-kurun.
Dan telah sepakat segala umat atas eloknya dan tidak ada seorang pun ulamak yang muktabar yang mengingkarkannya.” (Majlis Fatwa Negeri Mesir)

wallahua’lam
ustaz azhar idrus

Till then, see ya.


 

Tuesday, August 19, 2025

.: INFO DAGING AYAM MENTAH :.

 Assalamualaikum.

hari nie kita bercerita tentang daging ayam mentah.


Daging ayam mentah tidak boleh dibiarkan terlalu lama pada suhu bilikIa boleh menyebabkan bakteria membiak dengan cepat dan meningkatkan risiko keracunan makanan. Sebaiknya, simpan ayam mentah di dalam peti sejuk (chiller) atau bekukan. Jika ayam beku, cairkan di dalam peti sejuk, bukan pada suhu bilik.

Penjelasan Lanjut:

  • Bakteria:
    Suhu bilik adalah lingkungan yang ideal untuk pertumbuhan bakteria seperti Salmonella, yang boleh menyebabkan keracunan makanan.
  • Penyimpanan:
    Ayam mentah perlu disimpan pada suhu yang lebih rendah (di bawah 4°C atau 40°F) untuk melambatkan pertumbuhan bakteria, seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. 
  • Pencairan:
    Jika perlu mencairkan ayam beku, lakukan di dalam peti sejuk, bukan pada suhu bilik atau di dalam air panas, menurut portal Gempak. 
  • Masa:
    Ayam mentah yang disimpan di dalam peti sejuk perlu dimasak dalam tempoh dua hari. 
  • Penyimpanan Ayam Masak:
    Ayam masak juga tidak boleh dibiarkan terlalu lama pada suhu bilik (lebih dari dua jam), menurut Facebook. 


dah kenapa hari nie bercerita pasal ayam?
malam tadi, linda keluarkan ayam, letak dalam sinki.
selalu nya memang linda akan defrost dekat luar dalam sejam dua, baru
masukkan semula dalam peti sejuk.
senang nak masak esok pagi, ayam dah lembut.

tapi, malam tadi. 
biasa lah, kak M dengan dedek memang akan suruh linda tidurkan dulu.
just temankan diorang baring dalam bilik ja.
bukan setakat diorang berdua je tido, linda pun tertido sama.
terjaga jam 3.30 pagi, baru masuk bilik sendiri.

5.30 pagi bangun untuk mulakan tugas hakiki sebagai surirumah tangga.
pergi dapur, elok semua pinggan mangkuk, periuk dah berbasuh.
tinggal nak susun dekat tempatnya je.
sekali, tengok dalam sinki, ada lagi ye ayamnya dekat situ.

waaa, ku rasa nak mengamuk pagi2 nie.
awat la incikSuami tak masukkan dalam peti sejuk.
tapi tu lah, sejenis yang kena pesan, baru lah dia buat.

ada sekali tu, linda pesan suruh letak balik lauk mentah dalam peti sejuk.
esok pagi nak masak, cari dekat bahagian chiller takde.
dia letak dekat tempat frozen balik.
emm, memang tak masak lah..
beli je jawabnya.

eh, berbalik pada ayam tu, linda pun bau2 lah.
alhamdulillah, takde bau yang tidak menyenangkan.
jadi kita tawakal je lah masak ayam tu.
kalau keracunan makanan, 1 family lah jawabnya.. mintak dijauhkan la.
nie linda dah makan lauknya lunch tadi, Alhamdulillah, takde rase yang pelik-pelik.

itulah, kadang2 incikSuami nie bab2 dapur, alat memasak nie, dia tak berapa 
mahir sangat.
kena banyak bersabar tang nie. hihihi.

till then, see ya.  

Friday, August 1, 2025

.: 6 PERISTIWA SEBELUM BERLAKU NYA KIAMAT :.

 Assalamualaikum

semalam, linda dengar ceramah Ustaz Wadi dekat You Tube.
meh lah linda kongsi kan sikit apa yang Linda dengar.


pernah pada zaman Rasulullah, seorang sahabat nabi , Auf bin Malik menemui baginda.

Sabda baginda Rasulullah: Dari 'Auf bin Malik RA berkata: Aku pernah menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda: Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu:

1- Kematianku (detik bermulanya hitungan kiamat dengan kewafatan Nabi Muhammad SAW).

2- pembebasan Baitul Maqdis

3- Kematian berskala besar (kematian yang mengejut tanpa mengira umur)

4- Harta yang makin melimpah (kalau nak dikaitkan dengan zaman sekarang, majoriti semua orang ada rumah, ada kereta, tapi banyak mana pun gaji, tetap lah kita terasa tak cukup)

5- Fitnah berleluasa dan tersebar dengan cepat (lagi-lagi kita di zaman serba canggih,dalam masa seminit, fitnah boleh tersebar ke serata dunia)

6- Akhir sekali perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada dua belas ribu (12,000) tentera. - [HR al-Bukhari 2940].

untuk lebih lanjut, boleh baca SINI, SINI
link youtube ustaz Wadi di SINI


till then, see ya.

mampu menyampaikan yang umum, nak tulis panjang lebar, risau salah penerangan.
semoga kita terus istiqamah dalam memperbaiki diri dan memperbanyak amal ibadah, aamin