BAPAKU BUKAN BAPAKU
Pada suatu hari, seorang bapa membawa anak perempuannya datang ke pejabat saya untuk memohon wali hakim bagi pernikahan anaknya. Si bapa mengaku tidak boleh mewalikan anaknya kerana anak tersebut lahir sebelum dia bernikah.
Saya minta sijil nikah si bapa dan sijil lahir si anak. Betul apa yang didakwa, tetapi ada sesuatu yang menarik perhatian saya.
"Kenapa anak ini berbintikan Ali (bukan nama sebenar)? Biasanya JPN akan cadangkan 99 nama Allah. Siapa Ali?" soal saya.
"Ali ni bekas suami kepada isteri saya. Masa anak ni lahir, isteri saya belum bercerai dengan Ali," jawabnya.
"Macam mana encik boleh yakin yang ini anak encik, bukan anak Ali?" soal saya lagi.
"Ali tu dah tinggalkan isteri hampir setahun, lepas tu baru saya kenal dengan isteri. Saya yakin cuma saya saja yang ada hubungan dengan isteri masa tu. Puan tengok anak ni pun muka sama dengan saya. Abang kakak dia semua kulit putih ikut Ali," jawabnya lagi.
"Ali ada lagi tak?" soal saya.
"Ali dah meninggal 2 tahun lepas," jawabnya.
Saya minta dia hubungi isterinya kerana saya mahu bertanya sendiri. Ini pengakuan zina, saya mahu dengar sendiri daripada mulut isterinya.
"Isteri saya dah terlalu uzur puan. Sakit kanser. Dia yang minta cepatkan urusan kahwin anak sebelum dia pergi," ujarnya.
"Oklah. Ali tahu ke tidak yang ini bukan anaknya?" tanya saya.
"Dia langsung tak tahu. Masa isteri saya failkan cerai taklik pun dia tak datang mahkamah," jawabnya.
Saya memberikan penerangan tentang status anak tersebut yang diiktiraf sebagai anak sah taraf kerana lahir dalam tempoh perkahwinan, sekalipun ia bukan daripada benih Ali. Rasulullah SAW bersabda:
الولد للفراش وللعاهر الحجر
"Anak itu milik pemilik hamparan dan bagi penzina itu batu."
Memandangkan Ali sudah meninggal dunia dan dia tidak pernah menafikan nasab anak ini semasa hayatnya, maka kekallah anak ini menjadi anak sah taraf Ali.
Tetapi lelaki ini tidak berpuashati dan tetap mahu memohon wali hakim untuk anaknya. Saya tahu dia menanggung rasa bersalah seumur hidup kerana menjadikan Ali pak sanggup tanpa pengetahuan Ali.
Permintaannya saya turutkan dan seperti yang dijangka permohonan wali hakim ditolak oleh mahkamah. Anak itu diperintahkan bernikah dengan berwalikan abangnya (anak Ali).
Selepas selesai kes, saya panggil anak itu bersendirian tanpa bapanya. "Sekarang kamu dah tahu kisah silam ibu bapa kamu kan. Kamu jadikan pengajaran. Jangan benci ibu bapa kamu, tapi benci perbuatan mereka. Kamu jangan ulangi dosa mereka. Jadi isteri yang solehah untuk suami kamu," nasihat saya.
Apa pengajaran daripada kes ini?
1) Sesepi dan seteruk mana pun hidup disebabkan perbuatan pasangan, jangan sesekali mencari kebahagiaan dengan berbuat maksiat. Saya tahu Ali bersalah kerana meninggalkan dan mengabaikan isterinya, tetapi itu bukan alasan untuk isterinya berzina dengan lelaki lain. Sama juga suami yang berzina dengan alasan isteri tidak dapat melayani batinnya dengan baik.
2) Perbuatan dosa akan menghambat pelakunya di dunia dan di akhirat. Dosa dengan Allah boleh bertaubat, tetapi dosa dengan manusia (dalam kes ini curang) tidak akan terlerai melainkan dengan kemaafan. Lebih teruk jika tidak selesai di dunia dan dibawa ke Hari Pengadilan hingga menyebabkan muflis akhirat.
3) Kifarah dosa itu nyata. Hukuman hudud bagi penzina yang telah berkahwin ialah direjam dengan batu sampai mati. Mungkin hudud boleh terlepas, tetapi kifarah dosa pasti ada untuk menebus dosa yang telah dilakukan. Mungkin saja penyakit kanser itu penghapus dosa silamnya. Wallahu a'alam.
CnP dari FB.
Semoga keluarga, anak², adik beradik serta keturunan kita terhindar daripada melakukan perkara² yang haram.aamin.
Till then, see ya.

Aamin ya rabb.
ReplyDeleteSemoga Allah mengampunkan dosa kita dan memelihara diri kita daripada perbuatan sia2