Assalamualaikum.
TERSALAH BACA FATIHAH DALAM RUKUK
ADAKAH SUJUD SAHWI?
SOALAN :
Orang yang solat tersalah membaca fatihah di dalam rukuk adakah batal solatnya dan adakah dituntut sujud sahwi sebelum salam?
JAWAPAN :
Setengah dari sebab disunatkan sujud sahwi ialah memindahkan rukun qauli seperti fatihah kepada bukan tempatnya seperti dibaca akan fatihah di dalam rukuk.
Maka sunat dia lakukan sujud sahwi sebelum salam dan solatnya tidak batal.
Tersebut pada kitab Safinah An-Naja :
نَقْلُ رُكْنٍ قَوْلِيٍّ غَيْرِ مَحَلِّهِ
Artinya : “Memindahkan rukun qauli pada selain tempatnya.”
Maksudnya siapa yang memindahkan rukun qauli kepada bukan tempatnya samada tersalah atau sengaja seperti membaca fatihah di dalam rukuk atau membaca tasyahhud di dalam qiam atau membaca selawat di dalam sujud maka siapa ada berbuatnya disunatkan ke atasnya sujud sahwi.
Berkata Imam Nawawi :
ولو نقل ركنا قوليا كفاتحة في ركوع أو تشهد لم تبطل بعمده في الأصح ويسجد لسهوه في الأصح
Artinya : “Dan jikalau seorang yang solat itu memindahkan akan rukun qauli seperti fatihah di dalam rukuk atau duduk tasyahhud maka tidak batal solatnya dengan sengajanya pada pendapat yang lebih sahih dan sujud ia kerana lupanya menurut pendapat yang lebih sahih.” (Kitab Minhaj At-Talibin)
Ada pun takbiratulihram maka tiada harus dipindahkan pada selain tempatnya kerana tidak sah solatnya atau dibaca sebahagiannya pada tempatnya dan sebahagian lagi pada bukan tempatnya seperti seorang masbuk yang baru datang ketika imam telah pun rukuk lalu dia mengucapkan lafaz Allahu di dalam qiam dan mengucapkan lafaz Akbar ketika turun kepada rukuk atau di dalam rukuk nescaya tidak sah solatnya.
Demikian lagi jika dia memindahkan lafaz salam pada bukan tempatnya seperti dia beri salam ketika duduk antara dua sujud dengan sengaja nescaya batal solatnya.
Dan seperti rukun qauli adalah memindahkan sunat qauli kepada bukan tempatnya juga tidak disunatkan sujud sahwi.
Berkata Syeikh Nawawi Al-Bantani :
سَوَاء كَانَ ركنا كالفاتحة أَو غير ركن كالسورة وَسَوَاء نَقله عمدا أَو سَهوا
Artinya : “Samada qauli yang dipindahkan itu rukun seperti fatihah atau bukan rukun seperti surah dan samada memindahkannya secara sengaja atau tersalah.” (Kitab Nihayah Zain)
wallahua’lam
ustaz azhar idrus

Tq info Linda 👍🏻
ReplyDeleteSama² PH
DeleteSalam Jumaat. Terima kasih untuk perkongsian ilmu hari ni Linda.
ReplyDeleteSalam Jumaat..
DeleteSama² sis Fiza